Monday, December 7, 2009

Aku ingin terbang tinggi

Awan pada pagi 7 Disember 2009 itu berwarna kelabu. Cuaca musim sejuk di luar rumah tidak begitu dirasakan, dengan bantuan 'heater' yang baru dibetulkan minggu lepas.

Kain dan baju yang telah kering setelah disidai di dalam bilik selama 2 hari kuangkat dan kuletakkan ke dalam bakul. Sambil melipat kain, fikiranku menerawang. Memikirkan tentang situasi yang sedang kuhadapi hari ini. Suri rumah sepenuh masa dan baru saja gagal dalam peperiksaan kelayakan untuk menjadi doktor pakar.

'Am I that pathetic?", aku menyoal diriku sendiri. Terasa seperti seorang manusia yang sangat tidak berharga. Terasa seperti kewujudanku adalah suatu kewujudan yang sekiranya mati pun, tidak akan dirasakan kehilangannya oleh sesiapa.

Air mata mengalir hangat menuruni pipi.

"Bagaimana untuk kuteruskan hidup yang seperti ini?"
"Apa yang harus kulakukan untuk mengubah nasib diri ini?"

Soalan bertubi-tubi kulontarkan ke benak minda.

Bunyi siren permainan helikopter anak kecil ku yang berumur 2 tahun itu menyedarkan ku dari lamunan. Wajahnya masam mencuka. Manakala kedua-dua belah tangannya menggosok kedua-dua biji matanya. Iqbal perlu ditidurkan segera, sebelum keresahannya itu bbertukar menjadi lebih parah.

------------------------------------------------------------------------------------

14 Julai 1996

Angin bayu yang bertiup dari pesisiran Pantai Teluk Cempedak itu berhembus lembut menyapa pipi. Pagar kampus berwarna kelabu itu kurenung kosong. Pengawal keselamatan yang sedang asyik membaca surat khabar di dalam pondok pengawal kelihatannya begitu tekun membaca. Jika ada perompak yang mencuri masuk ke dalam ruang kampus pun pasti tidak akan disedari olehnya.

"Adakah aku akan menghabiskan 7 tahun dari hayatku di sini?", tanyaku sendiri.

No comments: